Di saat kita bermegah dengan menjemput seluruh dunia untuk mengunjungi Malaysia dengan program 'visit Malaysia 2014', pelbagai kes dan kejadian telah menimpa...
SEORANG pengurus syarikat ternakan ikan
warganegara China diculik oleh sekumpulan lelaki berpakaian celoreng dan
bersenjata api dalam satu kejadian di perairan Pulau Baik, berhampiran Silam,
Lahad Datu, Sabah pagi semalam.
Dalam insiden pada jam 2.45 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Yang
Zai Lin, 34, berasal dari Guangzhao, China dilarikan oleh suspek menuju ke
selatan Pulau Simutu, Filipina.
Untuk rekod, jarak antara lokasi kejadian dan Silam ialah kira-kira 1.5
kilometer dengan mengambil masa selama 20 minit dari Bandar Lahad Datu.
Ia merupakan kes penculikan kedua membabitkan warganegara China dalam
tempoh sebulan tahun ini selepas kali terakhir di Singamata Reef, Semporna
membabitkan seorang penuntut universiti wanita dari Shanghai pada 2 April lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, kejadian berkenaan
berlaku di sebuah pusat ternakan ikan Syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd yang
dipercayai dimiliki oleh warganegara Hong Kong.
Menurut beliau, ketika kejadian lima lelaki terbabit dengan dua daripada
mereka berpakaian celoreng memegang senjata api dipercayai M16 telah
menyelinap masuk menggunakan sebuah bot ke bilik kediaman pekerja di pusat
ternakan itu.
Tambahnya, kelima-lima suspek menendang pintu salah seorang pekerja
wanita lalu bertanyakan lokasi bilik pengurus di situ.
“Suspek bertindak menendang bilik pintu pekerja wanita itu dan
pengurus (mangsa) yang berada bersebelahan bilik dalam keadaan terperanjat
lalu keluar memeriksa.
“Bagaimanapun, suspek telah menangkap mangsa lalu melarikannya
menggunakan bot,” ujarnya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen
(IPK) Sabah, Kepayan, semalam.
Turut hadir adalah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah Senior
Asisten Komisioner Omar Mamah.
Hamza berkata, sepasukan anggota Polis Marin dan Unit Tindakan Khas
(UTK) yang dimaklumkan berhubung insiden itu telah terserempak dengan bot
dinaiki suspek pada kira-kira jam 6.20 pagi berhampiran perairan Pulau
Mataking, Semporna.
Beliau turut mengesahkan berlaku insiden berbalas tembakan antara pihak
keselamatan dan suspek sehingga menuju ke Alice Reef (sempadan
Malaysia-Filipina).
“Bagaimanapun, sekitar jam 7.20 pagi, kelima-lima suspek berjaya
meloloskan diri ke kawasan Salowak, selatan Pulau Simutu, Filipina dan
mengakibatkan pasukan keselamatan kita terpaksa berundur.
“Kita telah memaklumkan perkara ini kepada rakan sejawat di negara jiran
bagi tindakan lanjut selain memburu suspek yang terlibat,” katanya.
Hamza berkata, hasil siasatan mendapati kesemua suspek adalah berusia
30 hingga 50 tahun dan motif awal mengenai insiden itu adalah berdasarkan
‘Kidnap for Ransom” (KFR) atau culik untuk wang tebusan.
Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen
4 Akta Senjata Api Lebih Berat.
Sementara itu, Hamza berkata, seramai 19 individu yang merupakan pekerja
pusat ternakan ikan itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes
penculikan pengurus warganegara China terbabit.
Siasatan awal mendapati 11 individu terbabit adalah berbangsa Suluk,
manakala lapan lagi bangsa Timor dengan 11 daripada yang ditahan tidak
mempunyai sebarang dokumen sah.
Beliau, kesemua individu itu ditahan serta dibawa ke Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Lahad Datu untuk memberi keterangan berhubung kejadian itu dan
seterusnya membantu siasatan kes.
“Kita juga tidak menolak kemungkinan sama ada wujud petualang atau
dalang di kalangan orang dalam berhubung kes ini. “Bagaimanapun setakat ini, polis mengesahkan tiada tangkapan ke atas
suspek dilakukan sementara siasatan terperinci masih giat dilaksana,” katanya.
Mengulas lanjut insiden berbalas tembakan, Hamza berkata tiada
kecederaan dilaporkan berlaku membabitkan tiga bot yang dinaiki oleh sepasukan
anggota Polis Marin dan UTK.
“Tiada sebarang kecederaan berlaku ketika tiga bot Polis Marin dan UTK
kita terserempak dengan bot dinaiki suspek di Pulau Mataking yang seterusnya
membawa kepada insiden berbalas tembakan,” katanya.
P/s: Apakah ini dugaan yang telah diturunkan kepada kita kerana kesalahan kita sendiri...
Sumber: The Borneo Post
0 Komentar untuk "Kes Penculikan Di Sabah | Imej Sabah Sedikit Tercalar"