Disiang hari ni elok rasanya cerita seram seram.. Takdelah perasaan takut tu timbul kan.. hehehe
Kali ni aku nak kongsi pasal misteri si pembuat Batu nisan.. Jom layan!!!!
Batu nisan merupakan batu penanda yang
diletakkan sebagai penanda di pusara orang yang telah meninggal dunia.
Cerita ini mengisahkan tentang seorang lelaki yang bekerja sebagai
seorang pembuat batu nisan kubur. Kerjanya dari pagi hingga ke petang
itulah mengambil tempahan batu nisan mengikut saiz yang diminta. Jom
ikuti kisah seram di bawah ini.
Saya hendak berkongsi pengalaman pakcik
saya yang terkena gangguan gara-gara batu nisan lama. Pakcik saya
seorang pembuat batu nisan di daerah dot dot dot, saya tak nak beritahu
tempatnya, pada satu hari Jumaat sekitar pukul lapan malam. Sebuah
kereta berhenti betul-betul di hadapan rumah pakcik saya. Seorang lelaki
lingkungan 30-an tahun datang bersama isterinya dengan menaiki sebuah
kereta mewah. Pakcik saya bertanya, “Apa hal datang malam-malam begini?”
Lelaki itu meminta pertolongan daripada pakcik saya. Katanya, “Abang
boleh tolong saya baiki nisan ini?”
Pakcik pun membelek dua batu nisan yang
dibungkus dengan suratkhabar. Pakcik terkejut, usang sangat bentuk dan
rupanya sehinggakan tulisan Jawi pada batu nisan itu sukar dibaca.
Pakcik pun bertanya kepada lelaki itu, “Siapa punya nisan ini?” Dengan
pantas lelaki itu menjawab, nisan itu milik ibunya yang bernama dot dot
dot binte dot dot dot.
Pakcik mengatakan bahawa batu nisan itu
terlalu usang. Daripada membaikinya lebih baik menempah yang baru saja.
“Saya tak nak nisan baru bang, saya nak nisan ini jugak…” kata lelaki
itu. Kerana kasihan dengan lelaki tersebut, pakcik ingin membaikinya,
dan lelaki itu dan isterinya ingin pulang segera ke Ipoh, Perak atas
urusan kerja, dan dia meninggalkan nombor telefonnya.
Apabila lelaki tersebut pulang, pakcik
mengambil batu nisan yang dimiliki oleh ibu lelaki tadi dan mengesatnya
dengan kain kotor. Sesudah mengesat segala kotoran dan lumut yang ada,
tulisan Jawi itu sudah boleh dibaca. Memang nama pemiliknya itu dot dot
dot binte dot dot dot. Meninggal pada tarikh 12 Mei 1990.
Sedang pakcik membelek rekahan-rekahan
yang ada pada batu nisan tersebut, beliau dipaut rasa sedih melihat batu
nisan yang sumbang-sumbing. Setahu beliau tidak pernah dia menerima
permintaan sebegini sejak menjadi pembuat batu nisan sejak sepuluh tahun
lalu. Sedar tak sedar, jam sudah menunjukkan pukul 12 malam. Terus Pak
Cik tinggalkan batu nisan itu di luar rumah dan terus masuk tidur.
Sedang pakcik saya ingin memejamkan
mata, tiba-tiba ada bau harum dan menusuk hidung. Kata pakcik baunya
seperti bau bunga cempaka… Tidak lama kemudian… KKKKRRRRRAAAASSSSSSSS!!!
DUMMMMM!!! Bunyi kaki diseret dan selepas itu kedengaran bunyi
berdentum. Pakcik saya mahu bangun, ingin melihat sama ada pencuri.
Sedang pakcik ingin bangun, tiba-tiba
kedua-dua belah bahu pakcik saya seperti ditimpa benda berat. Badan
pakcik tak boleh bangun. Pakcik seperti terpaku di atas katil. Dia
membuka mata perlahan-lahan dan nampak cahaya terang-benderang. Di
hadapan pakcik ada bayang-byang hitam yang amat besar. Bila pakcik
celikkan mata lagi, ternampak seorang wanita yang tinggi lampai hingga
ke siling dan di tangan kiri wanita itu memegang batu nisan. Wanita
berbaju hitam koyak rabak itu merenung tepat ke muka pakcik.
Dia memberitahu saya yang wanita itu
berambut panjang dan menutup hampir separuh mukanya. Pakcik tenung ke
muka wanita itu dan tidak jelas kerana mukanya ditutup oleh rambutnya,
dan ketika itulah bau busuk menyelubungi biliknya, bau busuknya teramat
sangat dan dia berkata yang dia tidak pernah bau busuk sebusuk bau itu.
Lembaga wanita itu semakin hampir dengan
pakcik dan mengangkat tangannya yang memegang batu nisan seperti ingin
menghempap kepala pakcik. Hampir sejengkal lagi lembaga itu
menghampirinya, pakcik berbisik di dalam hati, “Habislah kepala aku akan
hancur berkecai…” dan dia memejamkan mata, dan Alhamdulillah, lembaga
wanita tersebut hilang.
Selepas itu, pantas pakcik teringatkan
tentang batu nisan yang dibawa oleh pasangan suami isteri tadi. Adakah
“dot dot dot binte dot dot dot” wanita yang menjelma di dalam biliknya
dan mungkin ‘dia’ marah pakcik kerana cuba membaikinya?
Setelah azan Subuh berkumandang, pakcik
menelefon pasangan suami isteri yang datang untuk membaiki nisan buruk
itu tadi. Pakcik meminta lelaki tersebut datang untuk mengambil semula
nisan itu. Lelaki itu berkata, “Eh kenapa bang?” Pakcik tak sanggup
untuk memberitahu lelaki tersebut tentang apa yang dialaminya, “Maaf
saya tidak boleh baiki nisan ini…”
Lelaki itu menjawab, “Lah… Abang
sajalah yang boleh tolong saya, saya hantar batu nisan ni kepada ramai
pembuat nisan tetapi semua menghantar balik.” Pakcik menolak juga
permintaan lelaki itu…
Pakcik memberitahu saya, mungkin gangguan itulah juga yang menyebabkan orang lain enggan membaiki batu nisan tersebut.
3 Komen untuk "18 PL: Kisah Pembuat Batu Nisan"
seram...
Nasib baik saya baca waktu petang petang. tapi still seram sejuk tangan ni nak menaip.
yer, cerita seram di siang hari. jauh lbh baik.. haaaa
takut juga tau kadang2..
ni baca tak lah takut sgt. takut juga...